Tuesday, March 14, 2023

Aku anak peneroka.

 Siapa aku? 

Aku anak Pahang. Aku anak peneroka Felda. 


Nama saya Salmiah. Saya dilahirkan pada bulan Ogos  1971. Tahun tersebut mencipta sejarah banjir besar di seluruh negara Malaysia. Saya dilahirkan di Kampung Padang, Kuantan. 


Saya diberi nama timangan Ne dalam keluarga kerana Ne adalah nama manja untuk anak perempuan dan Atan untuk anak lelaki di Pahang. 


Saya adalah anak keenam dari sebelas adik beradik. Saya mempunyai enam orang kakak. Kami berpindah ke tanah rancangan Felda pada tahun 1974. Ketika itu, saya baru sahaja berumur tiga tahun dan masih terlalu kecil untuk memahami kesusahan hidup keluarga. 


Apa yang saya tahu, ibu ayah saya mula menanam pokok getah bermula kami di sana. Sementara menunggu pokok getah mengeluarkan hasil, emak ayah saya mengusahakan tanaman padi di kawasan paya yang terbiar. Ketika itu, ramai yang menanam padi untuk bertahan hidup. 


Walaupun masih kecil, saya masih ingat suasana orang-orangan yang dipakaikan baju kurung untuk menghalau burung. Tin-tin susu pula digantung di sekitar paya. Saya masih ingat betapa seronok saya menarik tali yang mengikat tin susu kosong itu. Budak-bukak memang suka sangatlah buat bising kan... sekali tarik tali, sekali sekumpulan burung ciak padi berterbangan. Memang seronok. 


      Menunggu pokok getah mengeluarkan hasil bukannya semudah memetik buah di pokok. Lebih kurang empat hingga lima tahun barulah pokok getah boleh ditoreh. Itupun setelah pokok getah mencapai ukur lilit 18".Kalau tak cukup baja, pokok akan bantut. 


Ketika kami berpindah, saya mempunyai seorang adik. Ini bermakna, ibubapa saya perlu menanggung anak seramai tujuh orang dengan pokok getah yang belum mendatangkan hasil. Paling sedih, mereka tak punya duit untuk berpindah ke Jengka. Bak kata orang, kawan ketawa mudah dicari. Tetapi kawan menangis, siapa yang peduli? 


Bersambung... 

No comments:

Post a Comment

Aku anak peneroka.

 Siapa aku?  Aku anak Pahang. Aku anak peneroka Felda.  Nama saya Salmiah. Saya dilahirkan pada bulan Ogos  1971. Tahun tersebut mencipta se...